Categories
AGENDA SUKANKINI

Malaysia dijangka tempuhi perlawanan sukar bertemu Mongolia

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara dijangka menghadapi satu perlawanan yang mencabar berhadapan tuan rumah Mongolia dalam perlawanan kedua Kumpulan J Kelayakan Piala Asia 2022 B-23 di Ulaanbaatar, esok.

Ketua Jurulatihnya Brad Maloney berkata Mongolia sudah pasti akan memburu kemenangan selepas sekadar mengumpul satu mata selepas perlawanan menentang Thailand dalam perlawanan pembukaan Isnin lepas.

Biarpun begitu, Maloney berkata pihaknya hanya perlu menumpukan kepada taktik pasukan dan disiplin pemain mesti dalam keadaan lebih baik untuk mengurangkan risiko melakukan kesilapan mudah sepanjang 90 minit permainan.

“Setiap perlawanan nampaknya berlangsung agak agresif di sini, keadaan padang sintetik juga menyumbang sedikit kepada cabaran itu … Mongolia sebuah pasukan yang kuat, juga amat agresif dan teratur. Selepas menyaksikan mereka beraksi menentang Thailand saya dapat melihat mereka bermain dengan penuh bertenaga dan keinginan yang tinggi.

“Kami hanya mahu mengemaskan posisi pemain dan melepaskan bola dengan segera, cuba mengelakkan mereka terlalu menghampiri kawasan yang akan mengakibatkan pertempuran sengit dan jika kami boleh melakukannya dan bermain gaya kami sendiri, saya pasti kami akan okey,” katanya dalam satu rakaman suara yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan pihak media hari ini.

Selepas merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Laos dalam perlawanan sulungnya Isnin lepas, Malaysia berada di kedudukan teratas Kumpulan J dengan tiga mata sementara Thailand dan Mongolia masing-masing mengumpul satu mata di tempat kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, Maloney yang berpuas hati dengan kemenangan pertama itu berkata pasukan kebangsaan masih lagi belum dalam keadaan selamat kerana peluang untuk menjuarai peringkat kumpulan bagi mempastikan slot ke pusingan akhir Piala Asia 2020 B-23 masih terbuka kepada semua pasukan.

“Gembira dengan kemenangan pertama itu dan keputusan lain adalah di luar kawalan kami tetapi realitinya pertandingan ini masih terbuka luas, kami hanya perlu tumpukan kepada apa yang kami boleh lakukan dengan baik dan merancang ke hadapan untuk mendapatkan keputusan diinginkan dalam dua perlawanan seterusnya,” katanya.

Sementara, Maloney berkata aksi terbaik penyerang sensasi Luqman Hakim Shamsudin akan dapat disaksikan selepas pemain KV Kortrijk dikawal rapi semasa perlawanan menentang Laos.

Beliau percaya dengan keupayaan dan pengalaman, pemain dari Kota Bahru berusia 19 tahun itu akan terus memainkan peranannya dengan baik dan membantu kejayaan pasukan.

“Luqman seorang pemain berkualiti dan anda tahu dia akan mencari jalannya sendiri dan sudah tentu penyerang hebat di seluruh dunia, mereka mendapat perhatian daripada lawan dan ini tiada perbezaannya. Saya pasti dia akan beraksi dengan baik,” katanya.

Malaysia akan berdepan Mongolia di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia di Ulaanbaatar 11 pagi esok sebelum menentang Thailand pada waktu sama, Ahad ini dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan.

– BERNAMA