Categories
AGENDA NASIONAL

Manfaat baucar pelancongan negeri, bantu penggiat bangkit

SHAH ALAM, 19 OKT: Penggiat pelancongan meminta orang ramai memanfaatkan Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 yang boleh ditebus mulai Jumaat ini untuk membantu memulihkan sektor berkenaan.

M Gopalan

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor M Gopalan berkata pengusaha tempatan mahu bangkit semula selepas terjejas teruk susulan penularan Covid-19.

“Kami yakin baucar ini akan mendapat sambutan memandangkan maklum balas positif terhadap kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu selain pembukaan sempadan negeri dan penurunan kes.

“Masyarakat diharap memanfaatkan baucar ini bukan sahaja bercuti bersama keluarga tetapi bantu pengusaha pelancongan negeri,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Nazri Ahmad

Naib Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Selangor Mohd Nazri Ahmad berkata pihaknya menghargai pemberian baucar pelancongan oleh Kerajaan Selangor buat kali kedua sejak tahun lalu.

“Kita harap baucar ini dapat meningkatkan kadar tempahan bilik di Selangor, pengusaha hotel bersedia menerima pelancong,” katanya.

Sebanyak 10,000 Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 bernilai RM100 setiap satu ditawar secara percuma yang boleh ditebus sehingga 31 Disember menerusi platform e-dagang Shopee.

Lebih 170 pakej membabitkan 35 agensi pelancongan ditawarkan menerusi baucar yang sah penggunaan dari 22 Oktober hingga 30 Jun tahun depan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://selangor.travel/baucar-pelancongan-negeri-selangor/.