Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB buat pengumuman khas berkaitan Rumah Idaman Rabu ini

SHAH ALAM, 25 OKT: Dato’ Menteri Besar dijadual membuat pengumuman khas berkaitan Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Rabu ini.

Berita baik untuk rakyat negeri ini akan diumum secara langsung di Facebook Amirudin Shari dan program Platform Selangor (PLATS) jam 2.30 petang.

“Peluang untuk membina kehidupan lebih bermakna kini di tangan anda. Jangan lupa saksikan saya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video hari ini.

Pada 2 Mei lalu, Amirudin memaklumkan sebanyak 80,650 unit Rumah Selangorku Idaman dan Harapan menerusi 41 projek yang dijadual siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

Daripada jumlah itu, lebih 77,000 ditawarkan kepada orang awam manakala selebihnya diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY).

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Amirudin mengumumkan sebanyak RM20 juta bagi program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera.