Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Gazet tanah kampung Orang Asli dijangka selesai penggal ini

GOMBAK, 17 OKT: Dato’ Menteri Besar menjangkakan penggazetan tanah perkampungan Orang Asli di Selangor selesai penggal ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi memastikan penempatan mereka terjamin di samping tidak terbeban dengan pembangunan di kawasan sekitar.

“Kita sudah mengukur dan membantu gazet kampung Orang Asli, hampir keseluruhan sudah digazetkan, sebahagian lagi belum.

“Saya akan pastikan penggal ini juga kita akan gazet kawasan perkampungan Orang Asli supaya mereka yakin bahawa penempatannya tidak tercengkam atau terbeban dengan pembangunan serta kemajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Kampung Orang Asli Batu 12 pada Program Jelajah Prihatin Dato’ Menteri Besar ke Perkampungan Orang Asli Gombak hari ini.

Amirudin menjelaskan ada puluhan kampung Orang Asli di negeri ini meliputi kawasan Gombak, Hulu Selangor, Sepang sehingga Kuala Langat yang perlu digazetkan.

“Di sana kita perlu ukur atau gazet termasuk kawasan rayau mereka. Jika ada pembangunan saya percaya kawasan ini tidak terganggu tetapi perlu ada ukuran.

“Saya kira di Sepang sudah banyak kita gazetkan mungkin ada sebahagian kecil lagi perlu diselesaikan,” katanya.

Sebelum ini EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) giat menjalankan kerja pengukuran tanah di seluruh kawasan dan penempatan Orang Asli negeri ini.

Sebanyak 22 kampung Orang Asli terletak di Kuala Langat, Hulu Selangor (16), Sepang (15), Gombak dan Petaling (12) serta sembilan lagi di Hulu Langat.