Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Inisiatif dilaksana Kerajaan Negeri untuk semua kaum

KLANG, 25 OKT: Segala inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat adalah berteraskan keadilan kepada semua kaum serta masyarakat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, sejak diberi peluang mentadbir negeri pada 2008 , dasar yang diketengahkan ialah sesuatu keputusan dibuat bukan berdasarkan kepentingan warna kulit, kelompok dan komuniti tertentu.

“Kita ingin lihat semua lapisan masyarakat hidup bersama dan menikmati kemajuan pembangunan yang diimpikan.

“Ternyata lebih 12 tahun mentadbir Kerajaan Negeri inilah formula yang mengikat kita dan rakyat Selangor dengan lebih akrab tanpa menyebut majoriti pada kaum tertentu,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap di pelancaran Jelajah Deepavali KEADILAN Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa hari ini.

Amirudin berkata antara inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri ialah Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Kad Peduli Sihat.

“Semua ini tidak melihat kepada kaum dan warna kulit tertentu sebagai asas perbedaan. Kita juga memberi tumpuan mengikut keperluan dana-dana sekolah seperti sekolah agama rakyat dan sekolah jenis kebangsaan Tamil serta Cina.

“Kita juga sediakan peruntukan untuk membangunkan masjid dan surau serta wujudkan dasar melalui Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) yang melihat soal pemilikan kuil dan rumah ibadah,” katanya.