Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB libatkan pembangkang bincang Belanjawan Selangor 2022

SHAH ALAM, 21 OKT: Dato’ Menteri Besar mengadakan sesi libat urus Belanjawan Selangor 2022 bersama wakil rakyat pembangkang dan bebas pada 15 Oktober.

Pertemuan yang berlangsung di Hotel Concorde di sini bagi membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat negeri ini, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Saya ucap terima kasih dan penghargaan kepada wakil pembangkang dan bebas,” katanya di Facebook.

Perbincangan disertai Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang Sallehuddin Aminuddin, ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi, ADN Teratai Lai Wai Chong dan wakil ketua pembangkang Mohd Zaim Tawfek.

Sementara itu, Sallehuddin ketika dihubungi berkata isu menangani kilang haram antara yang dibangkitkan untuk dipertimbang dalam Belanjawan Negeri pada 26 November.

“Saya membawa isu supaya ada pasukan khas negeri menangani kilang haram. Kita tidak mahu hanya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan sahaja kerana ia tidak selesaikan masalah,” katanya.

Pada 8 Oktober, Dato’ Menteri Besar berkata semua ADN terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022 yang diadakan secara berasingan dalam pelbagai bentuk dan kaedah.