Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Pemberian vaksin Sinovac kepada remaja dilulus KKM

KLANG, 24 OKT: Dato’ Menteri Besar menjelaskan pemberian vaksin Sinovac di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja dibenarkan secara bersyarat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mengikut keputusan Kerajaan Pusat suntikan pelalian jenis itu boleh diberikan kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun yang tidak mempunyai penyakit kronik.

Menurutnya, penerima suntikan Selvax Remaja diperiksa doktor untuk mengetahui status kesihatan mereka serta diberi penerangan bersama ibu bapa.

“Doktor akan bertanya soalan-soalan relevan sebelum mereka menerima vaksin,” katanya selepas meninjau hari pertama Selvax Remaja di Dewan Serbanguna Majlis Perbandaran Klang Pandamaran Jaya di sini, hari ini.

Beliau mengulas pemberian vaksin Sinovac kepada peserta Selvax Remaja manakala vaksin jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Pada 1 Oktober lalu, mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 meluluskan penggunaan vaksin Sinovac kepada remaja berumur 12 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan PKBD  menyarankan penggunaan Sinovac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi.

Selain itu Sinovac turut diberikan kepada individu mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima Pfizer.