Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB serah bantuan makanan, ringan beban masyarakat Orang Asli

GOMBAK, 17 OKT: Dato’ Menteri Besar hari ini menyerahkan sejumlah 430 bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di sini yang terbeban dengan pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program Satu Keluarga Satu Bakul Makanan itu adalah kesinambungan daripada program seliaan EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian.

“Saya hanya menyampaikan dan ini merupakan program pusingan ketiga kita agihkan kepada masyarakat Orang Asli.

“Sumbangan ini bagi memastikan penduduk tidak terbeban dan tidak terputus bekalan makanan terutama dalam situasi Covid-19,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk selepas program bersama Masyarakat Orang Asal di Dewan Pejabat JKOA Gombak, Gombak pada 17 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Orang Asli Batu 12 pada Program Jelajah Prihatin Dato’ Menteri Besar ke Perkampungan Orang Asli Gombak di sini hari ini.

Amirudin turut meluangkan masa beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli dan melihat hasil kraftangan penduduk di situ.

Sebelum ini Loy Sian berkata sebanyak 6,000 bakul makanan diedar secara berperingkat kepada keluarga Orang Asli yang terkesan akibat Covid-19 di seluruh negeri.

Agihan itu dibuat dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Chamber of Commerce in Hong Kong and Macau dan Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia membabitkan peruntukan RM450,000 meliputi beras, gula, garam dan minyak masak.