Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBSA, agensi Kerajaan Negeri kerjasama perkasa peniaga jadi usahawan mampan

SHAH ALAM, 15 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengorak langkah ke hadapan membimbing dan memperkasa usahawan, peniaga serta penjaja menerusi kerjasama pintar dengan agensi Kerajaan Negeri.

Kerjasama membabitkan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), Perbadanan Kemajuan dan Pertanian Selangor (PKPS), Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) dan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program pemantapan itu bagi memberi pendedahan kepada para peniaga yang kehilangan pendapatan kerana pandemik.

“Kerjasama ini bukan sahaja merujuk kepada pembangunan serta penyusunan semula usahawan di Shah Alam tetapi memperkasa mereka supaya menjadi usahawan mampan dan boleh mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan@Shah Alam di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam, di sini semalam.

Pada program itu Amirudin turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSA, PKPS, Kohijrah dan SIC.

Program Pembangunan Usahawan@Shah Alam adalah inisiatif MBSA untuk mendekati usahawan, peniaga dan penjaja serta memberi kesedaran dan pemahaman mengenai syarat, peraturan yang ditetapkan.

Beberapa inisiatif tertentu akan diperkenal seperti bantuan geran awal, latihan dan pemberdayaan kepakaran, penyediaan cadangan projek, pengurusan pemasaran, perniagaan dan promosi serta kewangan.