Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ tawar 17 program, insentif sempena ulang tahun pertama

SUBANG JAYA, 20 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengadakan 17 program serta tawaran insentif kepada orang ramai bermula Oktober hingga Disember sempena sambutan ulang tahun yang pertama hari ini.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata program itu melibatkan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan sampaikan ucapan ulang tahun, fotografi dan video pendek, kuiz kenali MBSJ serta anugerah badan pengurusan komuniti strata terbaik.

Dalam tempoh sama pihaknya turut menawar pengurangan pas bulanan parkir bertingkat SS 15 daripada RM159 kepada RM100 selain pengecualian caj bayaran lewat cukai taksiran serta insentif rebat fi proses pelan bangunan.

“Majlis turut mengadakan bacaan Surah Yasin dan Bicara Perdana pada Jumaat ini. Minggu depan kita anjurkan program secara langsung di Media Selangor menerusi Bual Santai Bersama Datuk Bandar.

“Semua aktiviti dan insentif ini bertujuan meraikan komuniti sekali gus mempromosi kejayaan dan pencapaian majlis. Ia juga sebagai menghargai pemegang taruh yang banyak memberi sokongan untuk MBSJ meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya berucap di majlis sambutan itu.

MBSJ merupakan pihak berkuasa tempatan berstatus bandar raya ketiga di negeri ini selepas Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya berkuat kuasa 20 Oktober tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengisytiharan status berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.