Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSepang anjur anugerah kebun komuniti, tawar wang tunai RM7,000

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menganjurkan Anugerah Kebun Komuniti@Sepang dengan menawarkan wang tunai keseluruhan bernilai RM7,000.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pertandingan bertemakan ‘Jom Melawat Kebun Kami’ bermula 15 September sehingga 15 November ini.

Menurutnya, persatuan penduduk, badan pengurusan bersama (JMB), kelab rukun tetangga dan lain-lain persatuan komuniti di daerah itu dialu-alukan menyertainya.

“Anugerah ini merupakan tanda penghargaan kami kepada komuniti perumahan di daerah ini disamping menggalakkan individu di kawasan kejiranan meningkatkan lagi hasil pengeluaran dan kualiti tanaman yang lebih organik dan selamat.

“Peserta akan dinilai berdasarkan video kreatif dan amalan teknologi hijau seperti kompos, kitar semula, sistem tuaian air hujan dan inovasi,” katanya dalam kenyataan.

Abd Hamid menjelaskan pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai bernilai RM3,000 manakala RM2,000 (kedua), RM1,000 (ketiga) dan dua saguhati bernilai RM500 setiap seorang.

“Sehingga kini, sebanyak 21 kebun komuniti dilaksanakan di bawah program Komuniti@Sepang. Kita percaya pertandingan ini mampu mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan komuniti selain menarik minat lebih ramai sertai,” katanya.

Susulan pandemik Covid-19, penyertaan dibuka secara dalam talian dan peserta boleh mendapatkan borang menerusi Facebook Kebun Komuniti Sepang atau laman sesawang MPSepang/Smart Sepang.