Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas jalan raya meningkat setiap kali beralih fasa PKP

SHAH ALAM, 16 OKT: Jumlah nahas jalan raya seluruh negara meningkat setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu, kata pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Datuk Mat Kasim Karim beberapa fasa PKP yang dilaksanakan termasuk PKP 1, PKP 2 dan PKP 3, selain Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), lapor portal Berita Harian.

Jelas beliau, kenderaan dipandu terbabas sendiri, kecuaian dan cubaan memotong atau tukar laluan antara punca kemalangan maut berlaku.

“Saya mengambil data bagi pelaksanaan PKP 1 yang merekodkan sebanyak 5,948 kemalangan, membabitkan 51 kemalangan maut dan 58 kematian, manakala PKP 2 pula mencatatkan 4,693 kemalangan meliputi 54 kemalangan maut serta 56 kematian.

“Bagi tempoh PKP 3 pula, sebanyak 6,011 kemalangan direkodkan, membabitkan 63 kemalangan maut dan 65 kematian, manakala ketika PKPP pula, sebanyak 102,240 kemalangan dilaporkan dengan 835 kemalangan maut serta 907 kematian,” katanya

Susulan itu, Mat Kasim berkata tindakan penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi menentukan kepatuhan pengguna kepada peraturan serta undang-undang jalan raya, sekali gus mengurangkan kes kemalangan termasuk kemalangan maut.