Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: 90 peratus penduduk perlu divaksin untuk ke fasa endemik, bukan dewasa sahaja

SHAH ALAM, 6 OKT: Pakar kesihatan mencadangkan Malaysia hanya melangkah ke fasa endemik apabila 90 peratus daripada 32.75 juta penduduk negara lengkap vaksin Covid-19 dan bukan hanya golongan dewasa sahaja.

Tidak setuju dengan kenyataan perdana menteri dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa peralihan fasa dilaksana apabila 90 peratus golongan dewasa lengkap vaksin, Datuk Dr Musa Nordin sebaliknya berkata Malaysia perlu mengambil contoh kes Covid-19 di Singapura.

“Kalau 18 tahun ke atas sahaja hanya 63 peratus (lengkap vaksin) populasi sahaja, tengok Singapura yang capai 82 peratus kes masih naik dan gelombang baharu setiap hari,” kata Perunding Pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara itu.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara bertajuk Vaksinasi remaja, lindungi semua di Facebook Media Selangor malam tadi.

Setakat 4 Oktober, seramai 20,317,843 atau 86.8 peratus populasi dewasa di negara ini sudah lengkap vaksin yang menghampiri angka 90 peratus.

Pada 22 September lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan rakyat akan dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Pemberian vaksin kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sedang dijalankan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula 20 September lalu.

Pada 2 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program Vaksin Selangor (Selvax) sedia ditawar kepada remaja bagi melindungi kumpulan itu daripada dijangkiti wabak.

Perkembangan itu susulan keputusan Kementerian Kesihatan meluluskan pemberian suntikan vaksin jenis Sinovac kepada remaja.

Dr Musa berkata sebelum melangkah ke fasa endemik kerajaan juga harus memastikan sistem kesihatan negara mampu melakukan asas pencegahan Covid-19 mengikut piawaian antarabangsa iaitu cari, uji, kesan, asing dan sokong.

“Ini ditetapkan badan kesihatan dunia yang turut menyatakan kadar positif mesti bawah lima peratus tetapi kita masih 10 hingga 15 peratus,” katanya.