Categories
AGENDA JENAYAH

Pegawai bank disyaki terbabit tujuh kes pecah amanah ditahan

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Seorang pegawai bank antarabangsa ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan tujuh kes pecah amanah bernilai kira-kira RM4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di Cheras, di sini, pada 21 Sept lepas.

Beliau berkata lelaki itu yang berkhidmat sebagai pengurus perhubungan pelanggan disyaki melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang simpanan tetap milik mangsa bagi membeli tujuh jongkong emas untuk dirinya sendiri.

Kamarudin berkata setakat ini satu kes telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan pada 27 Sept lepas manakala enam lagi sedang disiasat.

“Kita percaya ramai lagi mangsa mengalami kerugian akibat perbuatan suspek namun belum membuat laporan polis dan mereka yang terbabit dinasihatkan untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

– BERNAMA