Categories
EXCO SELANGOR

Pelabuhan sederhana bakal dibina di Sabak Bernam

BANTING, 26 OKT: Satu pelabuhan bersaiz sederhana bakal dibina di Sungai Lang, Sabak Bernam sebagai satu medium peningkatan ekonomi setempat.

EXCO infrastruktur berkata perancangan itu kesan limpahan daripada pembukaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) antara Banting ke Taiping, Perak.

“Kita akan buat serentak antara pelabuhan dengan pembukaan WCE jajaran Sabak Bernam ke Tanjong Karang. Ini dapat majukan lagi ekonomi.

“Bila ada laluan sektor agro pelancongan juga meningkat. Pekerjaan, perumahaan turut ada permintaan dan terus membangun,” kata Ir Izham Hashim.

Beliai ditemui selepas melawat tapak WCE di Kampung Seri Cheeding dekat sini hari ini.

Terdahulu Izham berkata WCE di Selangor siap hujung tahun hadapan namum terdapat kelewatan pada jajaran 10 kilometer dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam ekoran masalah pemilikan tanah dan dijangka siap pada Disember 2024.

WCE sepanjang 233 kilometer membabitkan kos keseluruhan RM5.044 bilion menghubungkan beberapa lebuh raya antaranya Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Selat Klang Utara.