Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penerima kad SIM percuma manfaat untuk pembelajaran anak

BANTING, 27 OKT: Kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma dilengkapi data internet sumbangan Kerajaan Negeri digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Peniaga dalam talian Nora Tulhayati Abd Rahman,36, berkata sejak PdPR beliau memperuntuk lebih RM100 untuk membeli data internet untuk kemudahan dua anaknya berusia 13 dan 11 tahun.

Nora Tulhayati Abd Rahman

“Sebelum ini saya hanya belanja RM30 sebulan termasuk kegunaan perniagaan dalam talian tetapi sejak PdPR duit belanja bulanan bertambah sedikit.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi memberi kad SIM percuma yang lengkap dengan data internet. Inisiatif ini menjimatkan kos belanja bulanan kerana tidak perlu lagi tambah nilai dan beli data setiap minggu,” katanya kepada SelangorKini.

Suri rumah Ng Chai Hsia,30, pula berkata sumbangan Kerajaan Negeri membantu anaknya untuk belajar kerana data internet digunakan agak perlahan.

“Buat masa ini pakej data diambil perlahan dan cukup untuk kegunaan harian sahaja. Kadang-kala ketika sesi pembelajaran anak berusia tujuh tahun sangkut kerana internet perlahan,” katanya.

Nazir Masjid Al-Ihsan Sungai Lang Ahmad Saidi, 63, berkata beliau akan menggunakan kad SIM itu untuk menghebahkan maklumat berkaitan masjid, penduduk sakit atau ceramah.

Lang Ahmad Saidi

“Ketika pandemik banyak aktiviti masjid dihentikan seketika dan mesyuarat juga diadakan dalam talian.

“Dengan adanya data internet percuma, saya kini tidak risau lagi jika kehabisan data kerana banyak digunakan sepanjang Covid-19,”katanya.

Sumbangan itu diserahkan wakil rakyat Banting Lau Weng San di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Banting di sini semalam.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.