Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penerima lega dapat bantuan selenggara motosikal percuma

KUALA SELANGOR, 23 OKT: Seorang pekerja kontraktor syarikat utiliti bersyukur mendapat bantuan penyelenggaraan motosikal secara percuma dalam program Let’s Ride and Help (LetsGO) anjuran Team Selangor.

Mohd Azri Sarginen,43, berkata program itu meringankan bebannya yang perlu keluar bekerja mencari rezeki selepas terputus punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd azri sarginen, 43

Menurutnya, motosikal itu digunakan untuk berulang ke tempat kerja membabitkan perjalanan dua hala hampir 60 kilometer (km) di Kuala Selangor dan kadang kala ke Sekinchan.

“Kalau motosikal ini tidak diselenggara tidak dapat saya keluar bekerja selepas kerajaan memberi kelonggaran kini, jadi bantuan oleh Team Selangor memang melegakan.

“Memang kalau orang lain lihat kecil tetapi kesannya besar buat saya kerana membabitkan mata pencarian,” katanya ditemui pada program LetsGO di sini, hari ini.

Seramai 200 penunggang motosikal sekitar Bukit Melawati menerima manfaat sempena program berlangsung selama dua hari berakhir esok.

Program anjuran bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd itu menawarkan khidmat penukaran minyak pelincir, palam pencucuh, gegancu dan bateri motosikal.

Siti zubaidah zakaria, 27

Perkhidmatan percuma dikhususkan untuk 100 penunggang motosikal jenis Honda manakala selebihnya jenama lain dengan tumpuan golongan berpendapatan rendah (B40) selain penghantar makanan serta barangan.

Peniaga minyak wangi, Siti Zubaidah Zakaria,27, pula menzahirkan penghargaan kepada Team Selangor yang tampil membantu penduduk memerlukan di saat-saat sukar ketika ini.

“Ramai peniaga kecil seperti saya terjejas pendapatannya kerika PKP, jadi kami syukur bila dapat batuan yang boleh diguna untuk kembali bangkit,” katanya.