SHAH ALAM, 14 OKT: Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Dr Shaari Ngadiman menjadi individu terawal di negeri ini menerima suntikan penggalak vaksin Covid-19 hari ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan pemberian dos penggalak itu bagi memastikan perlindungan yang lebih optimum kepada penduduk terutama golongan berisiko tinggi.
Menyusuli Dr Shaari, seramai 29 petugas kesihatan lain di Hospital Shah Alam pula menerima suntikan penggalak tersebut.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan kementerian akan memulakan dos penggalak bagi warga emas dan anggota barisan hadapan yang telah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya selepas enam bulan.
Khairy berkata pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pemberian dos penggalak membabitkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer-BioNTech dahulu dan individu terbabit akan menerima vaksin yang sama (Comirnaty).