Categories
AGENDA SUKANKINI

Penjaga gol Selangor FC jalani sesi ujian bersama kelab Sepanyol

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Penjaga gol Selangor FC Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, berpeluang untuk mencipta nama di bumi Eropah apabila dijadual menjalani sesi percubaan bersama kelab La Liga Dua Sepanyol, CF Fuenlabrada pada 10 November ini.

Sikh Izhan berkata beliau akan menjalani tempoh kuarantin di Malaysia terlebih dahulu usai melengkapkan tugasan bersama skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan dalam pusingan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia, dijadual berlangsung pada 25 hingga 31 Oktober ini, sebelum mencuba nasib di Sepanyol pada tarikh berkenaan.

“Soal kontrak atau pinjaman ke kelab Sepanyol itu tidak dapat saya pastikan lagi, setahu saya sekadar latihan percubaan sahaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pemain berusia 19 tahun itu secara peribadi mahu melebarkan sayap ke benua Eropah dalam usahanya untuk meningkatkan tahap permainan dan menjadi pemain berjaya sekiranya memperoleh peluang bermain di sana satu hari nanti.

“Jika diberi peluang saya sudah 100 peratus bersedia untuk pergi bermain di tempat lain… Liga Malaysia sememangnya saingan yang bagus namun saya mahu pengalaman dan ilmu yang lebih baik di luar,” katanya.

Dalam pada itu, Sikh Izhan menyifatkan saingan kompetitif di Mongolia nanti menjadi satu tanda aras buat para pemain untuk memikat hati ejen luar dalam usaha mereka membina nama di persada bola sepak antarabangsa pada masa depan.

Pemain kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang itu pada masa sama berkata saingan sengit tetap berlaku antaranya dengan penjaga gol lain yang tersenarai dalam barisan akhir 23 pemain ke Mongolia untuk merebut tempat ke dalam kesebelasan utama bagi setiap perlawanan pada saingan kelayakan itu nanti.

Bagaimanapun, beliau berharap sesiapa pun yang diberi peluang beraksi di Mongolia dapat memberi komitmen 100 peratus dan menjelmakan persembahan terbaik dalam usaha memastikan skuad bimbingan Brad Maloney itu menempah slot ke pusingan akhir tahun depan.

Pada kempen kelayakan itu nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan J bersama Laos, Mongolia selaku tuan rumah dan Thailand, dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar.

Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober, Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun.

– BERNAMA