Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam dapat bonus RM700, pesara RM350

SHAH ALAM, 29 OKT: Seramai 1.3 juta penjawat awam Gred 56  dan ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM700 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh mencabar ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata manakala seramai satu juta pesara kerajaan pula akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350.

“… (kedua-dua bantuan ini melibatkan) dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perkara itu adalah antara yang cadangan di bawah strategi keempat iaitu “Mendokong Penyampaian Perkhidmatan Awam” daripada Fokus Ketiga Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

Selain itu, Zafrul berkata gantian cuti rehat (GCR) juga dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 bagi menghargai pengorbanan penjawat awam terutama barisan hadapan yang tetap komited dengan tugas dan tidak berpeluang bercuti.

Beliau berkata kerajaan turut akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari dengan mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak mereka.

Katanya, kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam antara lain memperuntukkan RM365 juta  untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

Antara tambah baik lain adalah meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara, selain meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

Kerajaan juga bercadang memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental.

-BERNAMA