Categories
AGENDA NASIONAL

Pensyarah UPSI dilantik CEO baharu Finas

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Prof Dr Md Nasir Ibrahim dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok (1 Nov) hingga 30 Okt 2023.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Mohammad Mentek dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan itu bagi menggantikan jawatan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berakhir 15 Okt lepas.

Beliau berkata Md Nasir mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.

“Pengalaman luas dan ketokohan beliau dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa terbukti, dengan kecemerlangan menggalas tanggungjawab termasuk sebagai timbalan rektor Hal Ehwal Akademik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“KKMM yakin kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang industri kreatif, khususnya seni budaya mampu memacu Finas sebagai badan peneraju yang menggalak, memelihara dan menyumbang kepada kemajuan industri perfileman negara.

“Saya percaya sinergi antara beliau dan ahli-ahli Perbadanan Finas akan memantapkan hala tuju, perancangan serta pelaksanaan yang lebih komprehensif bagi melonjakkan industri filem dan ekonomi kreatif di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

-BERNAMA