Categories
PBT SELANGOR

Pertandingan fotografi, video pendek MBSJ tawar hadiah RM14,000

SHAH ALAM, 27 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menganjurkan Pertandingan Fotografi dan Video Pendek sempena ulang tahun pertama sebagai bandar raya dengan hadiah keseluruhan RM14,000.

Datuk Bandar Noraini Roslan berkata bertemakan ‘Saya dan MBSJ’ acara itu bermula semalam sehingga 31 Disember ini.

“Bagi kategori fotografi peserta boleh merakam foto secara kreatif dengan memaparkan keindahan bandar, bangunan/mercu tanda, keindahan alam semulajadi, flora dan fauna, kawasan tasik, sungai serta landskap yang terdapat di seluruh kawasan pentadbiran MBSJ.

“Manakala, bagi kategori video pendek pula peserta perlu merekod pengalaman berada di Subang Jaya dengan menyelitkan mesej positif kepada penonton,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 11/2021 yang bersiaran secara langsung di Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya hari ini.

Hadiah menarik bagi setiap kategori berupa wang tunai serta sijil penyertaan ditawarkan kepada pemenang iaitu johan memenangi RM3,000 diikuti RM2,000 (naib johan), RM1,000 (ketiga) dan lima hadiah saguhati bernilai RM200.

Maklumat lanjut berhubung penyertaan orang ramai boleh mengimbas kod QR tertera di poster atau melayari media sosial rasmi MBSJ.