Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peruntukan RM45,000 untuk mudahkan sembilan kebun komuniti jalankan aktiviti tani

SIJANGKANG, 26 OKT: Peruntukan RM45,000 dalam bentuk bantuan peralatan bertani diberikan kepada sembilan kebun komuniti di Kuala Langat dan Sepang bagi memudahkan penduduk menjalankan aktiviti.

EXCO Industri Asas Tani berkata bantuan melibatkan kebun seliaan Majlis Perbandaran Kuala Langat di Taman Dato’ Hormat 1, Taman Dato’ Hormat 2, Padang Bola Taman Langat Utama 3 dan Kebun Komuniti Pearl Villa.

Lima lagi kebun di kawasan Majlis Perbandaran Sepang iaitu di Desa Pinggiran Putra Jalan Dua, Pangsapuri Baiduri Court, Taman Seroja, Taman Ixora dan La Cottage.

“Akibat pandemik Covid-19 kita memang perlukan sokongan dan sumbangan dari kebun komuniti untuk pastikan jaminan keselamatan makanan.

“Sekarang ramai yang mohon untuk buat kebun. Jadi kita akan teruskan bantuan ini supaya dapat menjaga sumber makanan selain membantu meningkatkan ekonomi dan keperluan setempat,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan antaranya benih, baja kompos, kereta sorong dan paip polyvinyl chloride (PVC) kepada wakil kebun komuniti.

Izham berkata pihaknya turut menyediakan nasihat pertanian selain memperkenalkan peralatan mesra alam supaya komuniti dapat menghasilkan tanaman berkualiti.

“Sebelum wabak melanda, kebun komuniti menyumbang 46 tan hasil tani, kita mahu tingkatkan supaya dapat mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.

Pada 8 Oktober Izham memaklumkan sejumlah RM250,000 diperuntukkan bagi memajukan 50 kebun komuniti di setiap pihak berkuasa tempatan.