Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas syarikat penyiaran maut dilanggar kereta ketika berbasikal

CYBERJAYA, 22 OKT: Kegembiraan seorang petugas syarikat penyiaran melakukan aktiviti berbasikal dengan basikal baharu, bertukar tragedi apabila beliau maut dalam kemalangan di KM 38.3 Jalan Cyberjaya (Dengkil/Puchong) menghala ke Cyberjaya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, Jeffry Aziz, 57, yang menunggang basikal tersebut dari arah Puchong dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh kereta Perodua Bezza yang keluar dari susur keluar Putrajaya/Bangi, dipandu seorang wanita berumur 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata akibat perlanggaran tersebut, Jeffry yang ketika itu dipercayai berbasikal di lorong ketiga jalan tersebut tercampak ke atas jalan raya dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemandu wanita itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeffry yang merupakan kakitangan Astro Production Sdn Bhd dalam perkongsian menerusi laman Facebook Trek Fans pada Ahad lepas menunjukkan beberapa gambar beliau melakukan aktiviti berbasikal bersama basikal baharunya yang berwarna hitam biru selain membuat catatan ‘my new bike day’.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul Azran berkata laluan tersebut adalah jalan biasa dan bukanlah lebuh raya, serta tidak mempunyai papan tanda larangan berbasikal.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata sebarang aktiviti berbasikal di lebuh raya tanpa kebenaran polis dan Lembaga Lebuhraya Malaysia adalah dilarang.

Sementara itu, Wan Kamarul Azran berkata mayat Jeffry dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala pemandu wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian, katanya.

-BERNAMA