Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPS sasar 1,000 usahawan baharu lahir menerusi Agro Ehsan

SHAH ALAM, 15 OKT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyasarkan 1,000 usahawan baharu dilahirkan dalam tempoh dua tahun menerusi program pembangunan Agro Ehsan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata Agro Ehsan bertujuan mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kita akan melaksanakan program latihan serta mengenal pasti tapak perniagaan yang berpotensi dijadikan sumber pendapatan baru kepada peserta Agro Ehsan.

“Peserta akan didedahkan dengan aspek pembudayaan dan latihan keusahawanan, mengenal pasti peluang perniagaan baru serta mendapatkan kemudahan pembiayaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan@Shah Alam di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam, di sini.

Mohamad Khairil berkata memorandum persefahaman (MoU) antara PKPS, Majlis Bandaraya Shah Alam serta Yayasan Hijrah Selangor akan merencana inisiatif keusahawanan kepada penduduk Shah Alam.

“Program Pembangunan Usahawan@Shah Alam anjuran MBSA menjadi sebahagian fasa awal pelaksanaan Agro Ehsan dan pihak kami akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain bagi meluaskan impaknya ke seluruh negeri.

“Saya percaya kita dapat capai 1,000 ini dalam masa dua tahun sebab setiap PBT (pihak berkuasa tempatan) sudah mula menghubungi PKPS untuk melaksana program ini di kawasan mereka,” katanya.

Jelasnya, PKPS akan mengadakan pelancaran Agro Ehsan dalam masa terdekat bagi memperincikan kaedah pelaksanaan program kepada umum.