Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan wanita tikam suami semasa bertengkar

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Polis menahan seorang wanita yang disyaki menikam suaminya sehingga mati menggunakan besi kaki payung di Kampung Laksamana, Batu Caves, di sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata kejadian kira-kira pukul 12.35 malam tadi bermula apabila pasangan itu bertengkar selepas si suami menuduh isterinya yang berumur 26 tahun mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Beliau berkata semasa bertengkar, si suami yang berumur 45 tahun itu dikatakan mengambil sebilah gunting lalu cuba menyerang isterinya namun wanita berkenaan bertindak balas dengan mematahkan besi kaki payung lalu menikam lelaki itu di bahagian bawah perut.

“Lelaki itu terus rebah, terbaring di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah, dan meninggal dunia di tempat kejadian. Polis turut menemui senjata yang digunakan oleh suspek iaitu sebatang besi kaki payung di bahagian belakang rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya bedah siasat akan dijalankan pada esok di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur selepas laporan ujian Covid-19 diperolehi, dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes ASP I.Agilan dengan menelefon 03-61262222 / 019-5230801 bagi membantu siasatan.

– BERNAMA