Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: HARAPAN selesai agih kerusi, sepakat guna logo rasmi

SHAH ALAM, 25 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) memuktamadkan agihan kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Pengerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Majlis Presiden yang turut memutuskan untuk menggunakan logo HARAPAN dalam pilihan raya negeri berkenaan.

“Kita memutuskan DAP kekal lapan kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) sembilan dan Keadilan bertanding 11 kerusi.

“Dengan keputusan yang dicapai hari ini semua parti digerakkan dengan hanya menonjolkan logo HARAPAN,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Sidang akhbar turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November penamaan calon pada 8 November manakala undi awal pada 16 November ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.