Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sasar tambah lokasi pasar agro Selangor, bantu peniaga tingkat pendapatan

CYBERJAYA, 30 OKT: Kerajaan Negeri menyasarkan menambah jumlah lokasi Program Selangor Agro Market (SAM) pada tahun hadapan dalam usaha membantu peniaga meningkatkan pendapatan.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata pihaknya cuba menaikkan dua kali ganda atau 100 tapak secara berperingkat seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setakat ini sebanyak 31 lokasi dibuka seluruh Selangor untuk tapak program SAM dengan melibatkan 465 usahawan melibatkan nilai jualan RM350,000 sehingga Oktober ini.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak secara terperinci bagaimana hendak meningkatkan lagi prestasi SAM dan pasar tani,” kata Ir Izham Hashim selepas melawat tapak jualan SAM di Taman Tasik Cyberjaya hari ini.

Lawatan Izham itu diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor Aiaida Abdul Rashid.

Sementara itu, Izham berkata fungi SAM ini agak berbeza dengan pasar tani kerana menempatkan usahawan langsung iaitu peladang atau pengilang untuk memasarkan produk mereka.

“Tapak jualan SAM tidak sama dengan pasar tani dan tidak memerlukan ruang yang besar selain harganya lebih murah,” katanya.

Program SAM adalah kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Fama yang sudah bermula sejak tiga tahun lalu membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor dengan nilai jualan sebanyak RM5.2 juta.