Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor cadang selesai projek rumah bekas pekerja ladang di Banting

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri akan membantu menyelesaikan isu perumahan bekas pekerja Ladang Dusun Durian di Banting sekiranya pemaju projek ditukar.

EXCO Perumahan berkata setakat ini pemaju dan pemilik tanah terikat dengan klausa yang termaktub dalam surat wakil kuasa dan perjanjian jual beli.

Rodziah Ismail mencadangkan supaya kedua-dua pihak menyelesaikan perkara ini melalui saluran perundangan iaitu menerusi mahkamah.

“Ini kerana pemaju ada mengambil duit dianggarkan RM1.98 juta daripada penduduk sebagai deposit. Tanggungjawab pemaju ialah pulangkan semula dan pemilik tanah buat keputusan siapa pemaju yang mereka mahu.

“Pemaju lepaskan lantikan, pemilik tanah batalkan kemudian Kerajaan Negeri akan campur tangan. Kita tidak boleh terus mengambil tanggungjawab ini tanpa dilepaskan pemaju terlebih dahulu,”katanya dalam sidang media di Foyer SUK semalam.

Sementara itu, Rodziah berkata, buat masa ini pihaknya belum pernah berjumpa dengan pemaju sebaliknya mereka hanya menghantar wakil ahli lembaga syarikat sahaja.

“Selain itu, pemaju juga tidak berusaha untuk berbincang dengan 109 pemilik tanah yang hanya bersetuju kenaikan rumah sebanyak 15 peratus sahaja.

“Kerajaan Negeri tidak ada halangan pemaju meletakkan harga tetapi dengan syarat mestilah mendapat persetujuan pemilik tanah,”katanya.

Terdahulu, projek perumahan itu dibina di atas tanah milik Golden Hope Plantations (Peninsular) Sdn Bhd (Golden Hope) manakala Era Permai Sdn Bhd selaku pemaju terbengkalai sejak 2006.

Tanah seluas 10 ekar diberikan adalah sebahagian pakej pemberhentian pekerja ladang iaitu dua ekar diperuntuk tanah kuil dan selebihnya kediaman pekerja ladang.