Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selvax Remaja di dua lokasi hujung minggu ini

SHAH ALAM, 28 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja berumur 12 tahun ke atas diadakan di Dewan Serbaguna Komuniti Blok G, Apartment Flora Damansara pada Sabtu ini.

Berdasarkan poster dikongsi EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook, program sama berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran pada hari Ahad.

Terbuka kepada rakyat tempatan dan bukan warganegara, program dikhususkan buat peserta yang belum menerima dos pertama atau tercicir dos kedua Selvax.

Orang ramai perlu mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dengan menekan butang VAX dan masukkan kod baucar yang betul.

Berikut langkah-langkah pendaftaran:

1. Muat turun SELangkah di Playstore atau Appstore. Klik ikon SELangkah untuk proses pradaftar
2. Tekan butang ‘VAX’
3. Tekan temu janji
4. Tekan semak temu janji
5. Tekan kotak ungu
6. Masukkan kod baucar mengikut lokasi PPV berhampiran
7. Tekan seterusnya
8. Pilih tarikh

Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 melalui Selvax Remaja bermula 24 Oktober di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.