Categories
AGENDA NASIONAL

Semua pusat pemindahan banjir di Selangor ditutup

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Satu daripada dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang terakhir beroperasi di Sepang, Selangor ditutup bermula 10 malam tadi.

Ketua Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sepang Leftenan Mohammad Amin Nasrin Ghazali berkata keadaan banjir di kawasan terlibat juga sudah surut dan PPS di Sekolah Rendah Agama Kampung Giching, Sepang yang menempatkan 25 mangsa banjir ditutup operasinya.

Mohammad Amin berkata Balai MPKK Kampung Giching yang sebelum ini menempatkan seorang mangsa banjir yang sedang menjalani kuarantin susulan positif Covid-19 juga telah ditutup 8 pagi tadi.

Di KEDAH, dua lagi PPS dibuka bagi menempatkan 41 mangsa banjir terdiri daripada 12 keluarga di daerah Baling.

Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Kedah Saifuddin Abdullah berkata kedua-dua PPS berkenaan mula diaktifkan malam tadi berikutan hujan lebat yang turun sejak petang semalam.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantung di daerah Baling telah dibuka pada pukul 9 malam bagi menempatkan 29 mangsa daripada 10 keluarga manakala 12 mangsa daripada dua keluarga berlindung di PPS SK Bandar yang dibuka 12 tengah malam.

“Sementara itu di daerah Pendang pula, mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah kekal seramai 140 mangsa daripada 36 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keadaan cuaca pada pagi ini baik, namun keadaan diramalkan berubah pada sebelah petang apabila hujan dijangka turun di beberapa kawasan di negeri itu.

– BERNAMA