Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Senarai akhir calon Ikon Agro Selangor diumum malam ini

CYBERJAYA, 31 OKT: Senarai akhir calon Ikon Agro Selangor 2021 akan diumum menerusi Facebook EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim malam ini.

Izham memaklumkan jumlah keseluruhan permohonan yang diterima adalah seramai 19 peserta sehingga ditutup pada 24 Oktober lalu.

“Menariknya tahun ini kita menerima penyertaan daripada agro pelancongan.

“Saya uar-uarkan senarai pendek peserta yang terpilih malam esok (ini) dan video mereka dimuat naik untuk pemarkahan juri awam sebanyak 50 peratus,” katanya selepas melawat tapak jualan SAM di Taman Tasik Cyberjaya semalam.

Menerusi lawatan itu, Izham diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor Aiaida Abdul Rashid.

Ikon Agro Selangor 2021 mempertaruhkan lima kategori iaitu pertanian, penternakan, akuakultur, industri asas tani dan agro pelancongan.

Pemenang akan membawa pulang wang tunai, insentif input dan alatan pertanian berjumlah RM10,000.

Ikon Agro Selangor berperanan sebagai duta kecil untuk sektor pertanian di negeri ini serta membimbing usahawan tani yang baharu berkecimpung.

Jawatankuasa pertanian negeri turut memantau Ikon Agro Selangor selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.