Categories
ADN SELANGOR

Sistem parit dinaik taraf, atasi isu banjir kilat di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 25 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersetuju menaik taraf longkang dan sistem perparitan bagi mengatasi isu banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini sekali gus melegakan lebih 16,000 penduduk.

Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning V Ganabatirau memaklumkan projek tambah baik berkenaan dijangka bermula tahun depan, namun kos belum diperincikan.

“Kita nampak bahawa punca utama banjir di kawasan berkenaan disebabkan masalah sistem perparitan yang lemah. Jadi, saya percaya mereka (JPS) akan memulakan kerja berkaitan tahun depan.

“Saya berharap masalah ini tidak lagi berlarutan dan dapat diselesaikan semua pihak termasuk JKR (Jabatan Kerja Raya) yang juga perlu main peranan,” katanya pada sidang media di Bangunan SUK di sini hari ini.

Mengulas lanjut, EXCO pemberdayaan dan pembangunan sosio ekonomi dan kerajaan prihatin berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga merancang membina kolam takungan di sebuah padang sekitar kawasan terbabit.

Menurutnya, rancangan tersebut dipersetujui Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor selepas diusulkan dua minggu lalu.

“Terdapat kira-kira enam padang besar di Seksyen 25, salah satu akan ada di situ (kolam takungan). Jadi, beliau (Datuk Zamani) akan uruskan perkara dengan segera,” katanya lagi.