Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor perkenan bilangan jemaah di masjid, surau ditambah

SHAH ALAM, 31 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memperkenan mempertingkat jumlah jemaah di masjid dan surau negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sebagai contoh masjid negeri boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 ketika ini.

“Masjid-masjid Daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.

“Masjid-masjid Institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah sementara Masjid Pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Baginda bertitah pertimbangan dan keputusan itu diambil setelah meneliti data-data terbaharu penularan wabak Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian menurun kepada satu digit.

Mengikut statistik, jumlah kematian akibat Covid-19 di Selangor berjumlah 9,581 orang setakat Rabu lalu iaitu separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.

Bagaimanapun Baginda dengan tegas mengingatkan para jemaah agar mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika beribadat di dalam masjid.

Pada 13 Oktober lalu, Kerajaan Negeri setuju menambah jumlah jemaah solat Jumaat di Masjid Negeri kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang sebelum ini.

Berdasarkan perkongsian infografik di Facebook, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan jumlah jemaah bagi solat lima waktu kekal 500 orang.