Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan seru rakyat galas tanggungjawab tangani Covid-19, elak PKP berulang

SHAH ALAM, 31 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat sama-sama menggalas tanggungjawab untuk menangani penularan wabak Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Baginda tidak mahu kelalaian dalam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) menjadi punca kes kembali meningkat dan memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan satu lagi ‘lockdown’ seperti yang berlaku sebelum ini.

“Ini ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan. Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Baginda turut menyeru umat Islam khususnya menunaikan solat dan terus berdoa agar Selangor dan negara ini dijauhi wabak penyakit, bala dan malapetaka.

Semalam, sebanyak 5,854 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan, menurut ketua pengarah kesihatan.

Data dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook itu menurun sedikit berbanding 6,060 kes pada Jumaat.