Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Tabung Endowmen MPHS kumpul RM1.4 juta, manfaat ribuan pelajar

SHAH ALAM, 22 OKT: Tabung Endowmen Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) sudah mengumpul sejumlah RM1.4 juta setakat ini.

Tabung yang dilancarkan sejak 21 Disember tahun lalu berjaya memanfaatkan ribuan rakyat di daerah berkenaan khususnya pelajar, kata yang dipertuanya.

Menurut Mohd Hasry Nor Mohd, hasil kutipan digunakan untuk menjayakan program khidmat sokongan dan bantuan supaya peluang pembelajaran dinikmati semua pelajar.

“Tabung ini digerakkan bagi mengumpul dana dan membiayai aktiviti yang menyokong matlamat pembangunan lestari.

“Konsep pengurusan wakaf diterapkan dalam pengurusan tabung ini agar kelangsungan terus berpanjangan sehingga dinikmati generasi seterusnya,” katanya.

Beliau bercakap sempena Majlis Menjunjung titah Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi pengisytiharan Majlis Daerah Hulu Selangor sebagai perbandaran semalam.

MPHS menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menubuhkan tabung berkenaan sebagai salah satu strategi dalam pelan strategik MDHS 2019-2023 bawah teras memperkasakan tadbir urus ke arah kecemerlangan organisasi.

Tabung berkenaan mengutamakan golongan pelajar memandangkan golongan itu bakal pemimpin dan pewaris kepada kelestarian pembangunan negara ini.