Categories
AGENDA NASIONAL

Taman rekreasi paya bakau tarikan baharu di Klang, siap Januari 2022

KLANG, 28 OKT: Taman Mangrove Point seluas 70 ekar dibangunkan berhampiran Sungai Klang di sini sebagai kawasan ekopelancongan baharu di daerah tersebut.

Taman rekreasi berkonsepkan hutan paya bakau seluas 70 ekar itu dibangunkan Gerbang Maritim Selangor dengan kos RM10 juta, kata EXCO kemudahan awam.

Dijangka siap Januari tahun depan, Ir Izham menjelaskan ia turut dilengkapi surau, tandas, kawasan perkhemahan dan riadah selain aktiviti memancing.

“Taman ini dijangka menjadi salah satu tarikan menarik yang bakal dikunjungi penduduk tempatan mahupun antarabangsa kerana ia memiliki ekosistem bakau lebih 100 tahun.

“Pengunjung boleh terokai taman ini dari Pusat Maklumat dan berjalan kaki sepanjang 1.6 kilometer untuk melihat keindahan flora dan fauna,” katanya selepas meninjau kawasan itu hari ini.

Ir Izham berkata lokasi tersebut juga bakal dilengkapi menara burung supaya orang ramai boleh melihat pelbagai spesies termasuk membuat katalog burung.

Selain itu, katanya, papan tanda akan dipasang pada setiap jenis pokok bakau dengan kerjasama
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Jabatan Perhutanan.