Categories
PBT SELANGOR

Tarikh tutup pertandingan fotografi MBSA dilanjut hingga 1 November

SHAH ALAM, 6 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melanjutkan tarikh tutup Pertandingan Fotografi Shah Alam 2021 hingga 1 November ini.

MBSA menerusi Facebook memaklumkan lanjutan tarikh itu bagi memberi peluang lebih ramai orang menyertainya sekali gus menyerlahkan bakat dalam seni kreatif fotografi.

“Individu yang berminat sertai pertandingan ini, anda perlu memuat turun borang dan syarat penyertaan di portal www.mbsa.gov.my,” maklum pihak berkuasa tempatan itu.

Pertandingan bertemakan ‘Kami Sayang Shah Alam’ bermula sejak 20 Mac terbuka kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Lima kategori dipertandingkan meliputi bangunan atau mercu tanda, alam semulajadi, gaya hidup, aset majlis dan budaya norma baharu.

Pemenang akan dinilai melalui beberapa aspek berdasarkan tema, komposisi keaslian, kreativiti dan aplikasi teknik fotografi yang terbaik selain foto diambil hendaklah di kawasan pentadbiran MBSA.

Tempat pertama bagi setiap kategori akan memenangi wang tunai RM3,000, kedua (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan hadiah sagu hati RM200 seorang untuk lima pemenang.