Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Team Selangor anjur siri gotong-royong, pupuk kesedaran masyarakat

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Team Selangor mengadakan program gotong-royong kutipan sampah di 10 kawasan tumpuan ramai sehingga hujung tahun ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata inisiatif bersama Kerajaan Negeri itu sebagai langkah menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berucap ketika program Clean & Clear Beach Cleanup @ Pantai Remis, Kuala Selangor pada 3 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selangor mahu menjadi negeri bebas karbon, justeru untuk mencapai matlamat itu maka kita perlulah melakukan sesuatu.

“Hari ini merupakan siri pertama dan terdapat sembilan lagi kawasan yang akan menjalankan program ini, kita tumpukan pantai dan sungai yang terima kunjungan ramai,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis anjuran Team Selangor. Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Syahaizel berkata program yang turut disertai penyampai radio popular Fara Fauzana itu melibatkan 100 sukarelawan yang mengutip sampah di sepanjang 500 meter pesisir Pantai Remis.

Menurutnya program seumpama itu pernah dilakukan di tempat sama pada September tahun lalu dan berjaya mengutip 119 kilogram sampah.

“Jadi kali ini kita harap sampah dikutip berkurangan. Lagi banyak sampah dikutip bermakna kesedaran orang awam kurang.

“Kita harap masyarakat sedar keburukan membuang sampah ini dan mengubah sikap mereka. Bawa pulang sampah masing-masing,” katanya.