Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga juta pelajar terima bantuan awal sekolah RM150

SHAH ALAM, 29 OKT: Bantuan persekolahan RM150 seorang akan diagihkan kepada tiga juta pelajar yang layak mulai tahun depan, kata menteri kewangan.

Bantuan berjumlah RM450 juta itu antara sebahagian manfaat dalam Bajet 2022 yang dibentangkan
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Beliau berkata insentif khas alat bantuan mengajar sebanyak RM100 secara sekali bayar turut diberikan kepada lebih 400,000 guru bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia juga dilaksanakan dengan membekalkan tablet kepada pelajar berpendapatan rendah di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 15 peratus diberikan mulai 1 November hingga 30 April 2022.

Jumlah sama turut diberikan atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman selain diskaun 12 peratus untuk sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Sementara diskaun 10 peratus diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.