Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga lokasi Vaksin Selangor untuk remaja hingga hujung bulan

SHAH ALAM, 25 OKT: Golongan remaja berusia 12 tahun ke atas boleh menghadiri program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di tiga lokasi antara 28 hingga 31 Oktober ini, menurut Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan lokasi membabitkan Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Chuchoh pada 28 Oktober, Dewan Serbaguna Komuniti Blok G, Apartment Flora Damansara (30 Oktober) dan Dewan Kompleks Sukan Pandamaran (31 Oktober).

“Pra daftar di aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) dan masukkan kod baucar mengikut pusat pemberian vaksin tersenarai.

“Bersama kita pertingkatkan imunisasi masyarakat agar Selangor lebih selamat,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Terbuka kepada rakyat tempatan dan bukan warganegara, program dikhususkan buat peserta yang belum menerima dos pertama atau tercicir dos kedua Selvax.

Orang ramai perlu mendaftar awal melalui aplikasi SELangkah dengan menekan butang VAX dan masukkan kod baucar yang betul.

Berikut langkah-langkah pendaftaran:

1. Muat turun SELangkah di Playstore atau Appstore. Klik ikon SELangkah untuk proses pradaftar
2. Tekan butang ‘VAX’
3. Tekan temu janji
4. Tekan semak temu janji
5. Tekan kotak ungu
6. Masukkan kod baucar mengikut lokasi PPV berhampiran
7. Tekan seterusnya
8. Pilih tarikh

Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 melalui Selvax Remaja bermula semalam di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.