Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat harap peruntukan isu kesihatan mental dikekalkan

SHAH ALAM, 23 OKT: Ahli dewan negeri Subang Jaya mahu peruntukan berkaitan isu kesihatan mental dikekalkan dalam Belanjawan Selangor 2022.

Michelle Ng Mei Sze berkata harapan itu selepas mengambil kira kepentingan kesihatan mental penduduk terutama dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Saya tidak minta Kerajaan Negeri menambah peruntukan kesihatan mental tetapi harapan saya peruntukan ini tidak dikurangkan.

“Kesihatan mental perlu dipandang serius terutama dalam keadaan pandemik,” katanya pada sidang media Projek Kecil DUN Subang Jaya di USJ6 semalam.

Michelle turut memuji fungsi Selangor Mental Sihat (SEHAT) menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang disifatkan mudah dan amat membantu golongan yang memerlukan khidmat nasihat.

“Platform SEHAT ini bagus dan ada potensi untuk dibangunkan lagi, saya berharap Kerajaan Negeri akan menambah baik lagi usaha ini menerusi peruntukan Belanjawan Selangor akan datang,” katanya.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Ciri terkini SELangkah itu adalah hasil kerjasama Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Uiam) dan WhatsDoc Sdn Bhd.