Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Yayasan Selangor perlu sedia jadi penggerak utama pendidikan negeri

SHAH ALAM, 18 OKT: Dato’ Menteri Besar mahu Yayasan Selangor menjadi penggerak utama pendidikan negeri ini seterusnya landasan dalam gagasan Selangor Negeri Pintar 2025.

Yayasan Selangor memaklumkan perkara itu dinyatakan Dato’ Seri Amirudin Shari pada Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Selangor Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 8 Oktober lalu.

Menurutnya mengikut perancangan, bantuan program pendidikan dikendalikan semua agensi di bawah Kerajaan Negeri akan diselaras semula di mana Yayasan Selangor menjadi penggerak utamanya.

“Bantuan dan program pendidikan seperti tadika, program tuisyen rakyat untuk golongan B40, sehinggalah ke program Bitara di mana pencarian ‘the best brain in Selangor’ akan dikenal pasti dan dikendali Yayasan Selangor kelak.

“Melalui program Bitara ini pelajar terpilih akan dibiaya dari peringkat sekolah menengah sehingga pendidikan tertinggi peringkat sarjana dan doktor falsafah dengan nilai tajaan sehingga RM1.5 juta seorang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu Dato’ Menteri Besar juga mahu perhatian diberi kepada penyusunan semula aset-aset milik Yayasan Selangor yang kini dihambat beberapa limitasi dan situasi lebih kompleks, berbanding tahun-tahun terdahulu.

“Justeru, Yayasan Selangor akan melantik pasukan atau badan profesional tertentu untuk mentadbir dan mengurus aset-aset ini dengan lebih baik, agar dapat menjana pendapatan lebih tinggi, mapan dan cekap.

“Hasil pendapatan ini akan memberi manfaat dan dinikmati rakyat negeri Selangor melalui program dan inisiatif pendidikan yang dianjurkan Yayasan Selangor,” katanya.