Categories
ADN SELANGOR

100 keluarga asnaf DUN Ijok terima bakul makanan

SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 100 keluarga asnaf sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok menerima bakul makanan awal bulan ini.

Wakil rakyat Dr Idris Ahmad berkata inisiatif dijalankan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Al-Aman sebagai langkah meringankan kos perbelanjaan golongan itu.

“Bakul mengandungi makanan asas seperti minyak, beras, gula dan biskut selain ayam, bawang dan kentang yang dianggarkan bernilai hampir RM200 setiap satunya.

“Kita tidak mahu ada penduduk yang terputus bekalan makanan dan terpaksa menahan lapar justeru bantuan akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Dr Idris berkata semua penerima dikenal pasti oleh ketua kampung atau pengurusan masjid bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk yang memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.