Categories
ADN SELANGOR

11,412 remaja di Kinrara terima suntikan dos pertama

PUCHONG, 4 NOV: Seramai 11,412 remaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima dos pertama suntikan pelalian Covid-19.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata semua pelajar berusia 12 hingga 17 tahun itu daripada 26 sekolah di daerah Puchong, Subang Jaya dan Seri Kembangan.

“Pemberian dos pertama sudah tamat dan untuk dos kedua bermula hari ini sehingga 24 November depan.

“Saya berharap dengan adanya pusat pemberian vaksin (PPV) ini dapat mempercepatkan vaksinasi kepada golongan remaja selain memudahkan urusan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong Indah hari ini.

Sze Han yang juga EXCO kerajaan tempatan memaklumkan hampir keseluruhan penduduk berusia 18 tahun di DUN Kinrara sudah lengkap divaksin.

“Jumlah pengundi di Kinrara seramai 120,000 dan jika ikut senarai termasuk 18 tahun ke atas saya yakin lebih 90 peratus telah divaksin,” katanya.

Pada 15 Oktober lalu, PPV Puchong Indah kembali dibuka bagi PICK Remaja dengan membekalkan vaksin Pfizer-BioNTech.

PICK Remaja di PPV itu adalah usahasama pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, PPD Petaling Perdana, MBSJ serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara.