Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

1,253 ahli SMUE Meru boleh tuntut baucar beli-belah mulai hari ini

SHAH ALAM, 10 NOV: Ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru boleh menuntut baucar Jom Shopping bernilai RM100 di pusat khidmat mulai hari ini.

Manfaat itu khusus buat 1,253 warga emas dan orang kelainan upaya yang berdaftar bawah inisiatif tersebut dan menyambut ulang tahun kelahiran bulan ini, kata wakil rakyatnya.

“Baucar boleh diguna pakai di pasar raya Econsave Kapar. Saya harap sumbangan ini meringankan beban penerima dan menceriakan sambutan ulang tahun kelahiran,” kata Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang http://smue.yawas.my/admin/online_semakan.php.

Sementara itu, Mohd Fakhrulrazi berkata lebih 5,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) di DUN itu menerima bantuan makanan sejak penularan Covid-19.

“Bantuan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana kita tidak mahu ada penduduk terputus bekalan makanan,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.1 bilion melalui beberapa pakej ekonomi bagi membantu rakyat mendepani pandemik dalam tempoh dua tahun.

Pelan tersebut meliputi dua siri Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor dan Pakej Kita Selangor serta Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor untuk menangani dampak wabak.