Categories
AGENDA NASIONAL

20 PPS khusus untuk pesakit Covid-19 mangsa banjir

PUTRAJAYA, 24 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 20 pusat pemindahan sementara (PPS) isolasi khusus untuk menempatkan pesakit Covid-19 yang menjadi mangsa banjir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata PPS isolasi itu bagi memastikan penularan jangkitan dapat dikawal di sesuatu kawasan yang ditimpa banjir.

“Kita akan gunakan kaedah pemetaan untuk bekerjasama dengan beberapa pihak untuk lihat tempat-tempat yang berkemungkinan ada peningkatan kes-kes jangkitan Covid-19 dan keadaan banjir di situ.

“Kita akan pastikan PPS yang kita telah kenal pasti dapat tampung kes yang positif. Sekarang ini kalau positif, akan diasingkan dan dikuarantin di rumah, jadi (apabila berlaku bencana banjir) PPS isolasi yang kita kenal pasti ini akan tempatkan mereka di situ,” katanya kepada pemberita selepas menerima Pingat Ketua Pengarah (PKP) pada majlis penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga akan menawarkan perkhidmatan pemberian vaksinasi Covid-19 di PPS isolasi terpilih kepada individu yang belum atau tidak lengkap mendapatkan pelalian itu.

“Kita akan imbangkan untuk kita pastikan tiada penularan Covid-19 di PPS selain menggunakan strategi ujian saringan, tindakan kesihatan awam dan liputan vaksinasi.

“Kalau ada mereka yang ketinggalan dalam dapatkan vaksinasi, kita akan tingkatkan liputan pemberian vaksinasi di PPS (isolasi) dan mereka juga boleh dapatkan dos penggalak di sana,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dilaporkan berkata sejumlah 5,693 PPS membabitkan fasiliti sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti setempat disediakan di seluruh negara yang berkemampuan menempatkan kira-kira 1.63 juta mangsa banjir.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mengenal pasti rumah yang mempunyai individu sedang menjalani kuarantin atau pesakit Covid-19.

“Dengan cara itu, kita dapat memaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah rumah mana yang perlu dihantar pasukan khas yang memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk kerja menyelamat.

“Bagi mangsa banjir yang tidak dijangkiti atau berisiko, kita selamatkan macam biasa,” katanya.

Aminuddin berkata ujian saringan COVID-19 menggunakan air liur akan dilakukan bagi kemasukan mangsa banjir yang bergejala ke PPS manakala mangsa banjir yang sihat tidak perlu melakukan ujian saringan.

– BERNAMA