Categories
AGENDA NASIONAL

27 kru warga asing selamat, insiden bot karam di perairan Pontian

JOHOR BAHRU, 11 NOV: Dua bot barter trade karam manakala sebuah lagi hampir tenggelam berikutan cuaca buruk di perairan Pulau Pisang, dekat Pontian, pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata bagaimanapun 27 kru warganegara Indonesia ketiga-tiga bot berkenaan terselamat dalam kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya telah mengaktifkan operasi Carilamat pada 11.30 pagi selepas menerima panggilan kecemasan daripada ejen bot barter trade terbabit yang memaklumkan tiga bot syarikatnya iaitu KLM Budiman, KLM Alam Makmur dan KLM Firman Jaya mengalami kecemasan di laut.

“Pada 12.27 tengah hari, Sub Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat daripada pihak ejen kapal yang memaklumkan KLM Budiman telah dijumpai dan hampir tenggelam di kedudukan 8.1 batu nautika Tanjung Laboh oleh sebuah kapal kargo yang berada berhampiran namun 10 krunya terselamat.

“Setengah jam selepas itu, MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan mengenai penemuan tujuh kru KLM Alam Makmur oleh sebuah kapal pasir di kedudukan 7.4 batu nautika barat daya Pulau Pisang. Bot itu dilaporkan karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya dan disyaki akibat cuaca buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata pada 3.45 petang pula, pihaknya menerima maklumat mengenai 10 kru KLM Firman Jaya 3 telah diselamatkan oleh sebuah bot barter trade berhampiran dan telah dibawa ke Tanjung Balai, Indonesia.

“KLM Firman Jaya 3 juga telah karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya berikutan cuaca buruk,” katanya.

Beliau berkata operasi Carilamat kemudian ditamatkan pada 5.30 petang.

-BERNAMA