Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

3,500 jemaah dibenar solat Jumaat di masjid negeri

SHAH ALAM, 1 NOV: Selangor membenarkan 400 hingga 2,000 orang menunaikan solat Jumaat mulai 1 November kecuali 3,500 orang di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sementara untuk solat fardu, antara 200 hingga 500 orang bergantung pada kategori masjid dan surau, maklum Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

“Ketetapan baharu itu mengikut titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sehingga satu tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebenaran bagi menunaikan solat fardu turut diberikan kepada remaja dengan syarat mereka lengkap dos vaksin termasuk kedua ibu bapa atau penjaga.

Jelas Mohd Shahzihan, Baginda turut menitahkan program pengimarahan diperluas bagi memastikan peranan masjid dan surau sebagai pusat ilmu Islam kembali berfungsi.

Kebenaran termasuk mengadakan kuliah subuh dan maghrib serta tazkirah sebelum solat selain forum, diskusi, ceramah, kelas pengajian bersijil, daurah, aktiviti kursus dan latihan.

“Pentadbir masjid, surau dan musolla juga dibenar mengaktifkan kembali operasi kios, koperasi, lot gerai dan aktiviti ekonomi lain bagi menjana semula pendapatan,” katanya lagi.

Penganjuran program imarah tertakluk syarat berikut:

  • Penceramah lengkap vaksin dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan
  • Mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jais
  • Melaksanakan ceramah atau kuliah berkitab berdasarkan bersilibus atau berkitab
  • Tidak bercanggah atau berlawanan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah
  • Tidak menyentuh isu politik dan isu sensitif yang boleh memecahkan perpaduan ahli kariah
  • Mengambil masa menyeru jemaah untuk kembali menunaikan solat fardu berjemaah
  • Sentiasa mengingatkan jemaah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP)

Berikut bilangan jemaah dibenarkan mengikut kategori masjid: