Categories
AGENDA NASIONAL

43 syarikat tempatan, antarabangsa sertai Pameran Udara Selangor

SUBANG, 25 NOV: Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 membuka tirai hari ini di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark dengan penyertaan 43 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Acara selama tiga hari menampilkan pemain industri terkemuka seperti Aerodyne Geospatial Sdn Bhd, Turkish Aerospace Industry dan Global Turbine Asia Sdn Bhd.

Bertemakan ‘Selangor, the ASEAN Business & General Aviation Hub’, pameran dibuka selama dua hari untuk pemain industri manakala hari terakhir bagi kunjungan awam.

Antara pesawat yang dipamerkan ialah Embraer, Gokbey, Piaggio Avanti, Beechcraft King Air, Cessna 206 dan Bell 407GX sehingga 27 November.

Antara pengunjung yang hadir pada Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau Skypark, Subang pada 25 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pagi tadi, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim meninjau suasana pameran sekitar satu jam. Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Kerajaan Negeri menetapkan skop utama sektor aeroangkasa termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, pembuatan, sistem integrasi, kejuruteraan dan reka bentuk serta pendidikan dan latihan.

Aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia dianggar menjana RM21.2 bilion menjelang 2023, penyelenggaraan dan pembaikan (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).